Saturday, 8 June 2013

Tamdun Indus 

Lokasi
Tamadun Indus ialah tamadun yang terawal di India. Tamadun ini terletak di Lembah Indus yang disaliri oleh Sungai Indus. Sungai ini berpunca dari Pergunungan Himalaya dan  mengalir ke Laut Arab. Taamadun Indus ini juga dikenali sebagai tamadun Harappa bersempena dengan nama bandar utama dalam tamadun ini. Tamadun Indus terletak di bahagian barat laut India.
Kawasan ini dikelilingi oleh Banjaran Makran, Pergunungan Baluchistan, Punjab dan Rajasthan di bahgian timur. serta Kathiawar dan Gujuerat di bahgian tenggara.



Kerangkaan masa
Tamadun Indus telah muncul pada sekitar tahun 2500 S.M. dan mula merosot pada tahun 1800 S.M.. Sehingga hari ini masih belum jelas faktor yang menyebabkan kehancuran tamadun ini. Antara pendapat yang dikemukakan ialah tamadun Indus mengalami kehancuran kerana serangan orang Aryan serta bencana alam seperti banjir, kemarau dan gempa bumi.

Proses pembentukan
Di bahagian barat laut India telah wujud penduduk yang mengamalkan kehidupan secara nomad, iaitu hidup berpindah-randah dan menyara diri dengan memburu dan mengumpul makanan. Penduduk ini kemudian telah membentuk petempatan kekal di sepanjang Sungai Indus yang bukan saja menyediakan sumber air tetapi juga telah dapat menyuburkan tanah. Kepandaian penduduk di kawasan ini menyesuaikan diri dengan alam sekitar telah meningkatkan penghasilan pertanian yang membawa kepada pertambahan jumlah penduduk. Faktor-fator ini telah menyumbang kepada perkembangan bandar. Dua bandar utama yang terbentuk di Lembah Indus ialah Mohenjo-Daro dan Harappa. Manakala Lothal dan Sutkagen Dor merupakan bandar pelabuhan yang penting.

Ciri-ciri Tamadun Indus

Tamadun Indus memperlihatkan beberapa ciri yang istimewa. Pertempatan kekal yang wujud di lembah ini telah membawa kepada pembentukan bandar terancang. Bandarnya terbahagi kepada dua bahagian dan dikelilingi oleh tembok. Bahagian utama merupakan pusat pentadbiran dan keagamaan yang menempatkan bangunan pentadbiran , tempat mandi awam yang digunakan untuk upacara ritual dan pembersihan dan tempat penyimpanan hasil pertanian. Bahagian kedua bandar ialah kawasan perumahan. Bandar-bandar dalam tamadun ini dirancang dengan sebegitu rapi terutama dari sudut susun aturnya yang sistematik. Perancangan bandarnya dibantu oleh kemajuan ilmu geometri dan pembinaan, serta sumbangan tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba. Bandar-bandar dalam tamadun ini disusun berasaskan blok-blok berbentuk segi empat dengan setiap blok dipisahkan oleh satu rangkaian jalan raya yang lurus dan bersambung antara satu sama lain. Setiap bandar mempunyai sistem kumbahan yang terancang. Selain jalan raya, bandar-bandar ini juga dihubungkan dengan sungai yang berfungsi sebagai jalan perhubungan.

Berbeza daripada tamadun Mesopotamia dan Mesir Purba, tamadun Indus tidak meninggalkan maklumat dan sumber yang jelas tentang organisasi sosialnya. Jumpaan arkeologi telah membayangkan masyarakat di Lembah Indus terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan atasan dan golongan bawahan. Golongan atasan terdiri daripada pendeta dan pedagang. Kelas atasan yang utama ialah pendeta. Walaupun wujud dalam bilangan yang kecil, namun, para pendeta ini mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar dalam mengawal aktiviti masyarakat terutamanya yang melibatkan kegiatan keagamaan. Atas dasar keagamaan inilah, golongan bawahan memberikan ketaatan kepada golongan pendeta. Oleh sebab tiada bukti tentang kewujudan raja, maka, sejarawan berpendapat bahawa tampuk pemerintahan dipegang oleh pendeta.

Golongan bawahan pula terdiri daripada petani dan buruh. Golongan petani menjalankan aktiviti pertanian dan menyalurkan sebahagian daripada hasil tersebut kepada pihak berkuasa. Golongan buruh menjalankan kerja perburuhan seperti menjaga kebersihan bandar, membina tembok di benteng dan membina terusan.
Masyarakat di Lembah Indus juga mempunyai pengkhususan pekerjaan yang jelas terutamanya dalam bidang ekonomi. Masyarakat ini telah menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, pertanian, pertukangan dan pembuatan. Aktiviti perdagangan secara khusus membabitkan perdagangan luar termasuklah dengan Mesopotamia. Hubungan dagang antara kedua-dua tamadun dapat dibuktikan melalui penemuan cap mohor buatan masyarakat Lembah Indus di Mesopotamia. Antara hasil perdagangan yang penting termasuklah emas, gading gajah, manik dan hasil pertanian. Petani pula menjalankan aktiviti bercucuk tanam terutamanya bagi tanaman makanan seperti barli, kacang dan sebagainya. Selain menjadi petani dan pedagang, ada ahli masyarakat yang secara khusus menjadi artisan. Mereka ini terlibat dalam pembinaan dan penghasilan barangan logam dan barangan tembikar.

Masyarakat dalam tamadun ini juga dikenal pasti telah mempunyai satu amalan agama. Ini dibuktikan dengan penemuan patung dan ukiran yang mempunyai unsur keagamaan. Antara yang paling penting termasuklah penemuan sebuah patung yang dirujuk sebagai patung proto-Siva. Objek tersebut menunjukkan seseorang duduk bersila dengan stail yoga dan terdapat tiga tanduk di kepalanya yang melambangkan Dewa Brahma, Vishnu dan Siva. Kewujudan objek proto-Siva ini menjadi sangat penting terutama dari sudut perkaitannya dengan agama Hindu kemudiannya. Selain itu, masyarakat dalam tamadun ini juga percaya kepada Tuhan Ibu. Perkara ini dipercayai telah diwarisi daripada kebudayaan yang lebih awal kerana kepercayaan terhadap Tuhan Ibu ini turut berlaku dalam masyarakat yang mendiami Mesopotamia, Asia Kecil, Syria dan Palestin.

Masyarakat tamadun Indus telah mempunyai satu sistem tulisan yang berbentuk piktograf. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini, tulisan tamadun Indus masih lagi menjadi misteri dan masih belum dapat ditaksifkan.


Sumbangan Tamadun Indus
Tamadun Indus turut memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan ketamadunan manusia. Antara sumbangan utama tamadun ini termasuklah dalam bentuk keupayaan serta kebolehan masyarakat Lembah Indus mengeksploitasi kelebihan yang mereka miliki untuk memudahkan kehidupan mereka hingga akhirnya menjadi asas kepada pembangunan tamdun. Hal ini sangat jelas apabila dilihat dari sudut kebolehan masyarakat Lembah Indus mengeksploitasi Sungai Indus untuk memajukan kehidupan harian mereka. Idea yang sebegini akan menjadi panduan kepada generasi seterusnya untuk menghasilkan sebuah tamadun yang cemerlang.

Selain itu, dari sudut yang lebih nyata, tamadun ini sangat dikenali kerana perancangan bandarnya. Keupayaan untuk mewujudkan sebuah bandar terancang seperti Mohenjo-Daro dan Harappa bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya, hal ini memerlukan gabungan kepakaran sama ada dari sudut letak bandarnya mahupun dari sudut pengisiannya. Oleh yang demikian, pemahaman tentang ilmu geometri, kesenian, dan matematik sangat diperlukan. Kemampuan masyarakat Lembah Indus mencapai kecemerlangan perancangan bandar berkait rapat dengan kemajuan dalam bidang  geometri dan pembinaan. Pemahaman geometri hasil daripada pertembungan tamadun ini dengan Mesopotamia dan Mesir Purba telah membolehkan perancangan bandar disusun berasaskan bentuk segi empat yang diikuti oleh jalan raya yang lurus. Di samping itu, masyarakat Lembah Indus telah berusaha meningkatkan mutu bahan binaan. Hal ini telah berjaya dilaksanakan apabila masyarakat Indus tidak hanya bergantung pada panas  matahari untuk membuat batu bata daripada tanah liat. Sebaliknya, batu bata itu dihasilkan melalui pembakaran dengan suhu yang tinggi. Berasaskan perkara ini, kecemerlangan perancangan bandar dalam tamadun Indus, sebenarnya, merupakan gabungan daripada pelbagai pengetahuan dan pencapaian termasuklah geometri dan matematik serta teknologi pembakaran batu bata.

Sifat keterbukaan yang dibuktikan oleh tamadun ini dalam membuat hubungan dengan tamadun lain juga merupakan satu lagi aspek yang sangat penting. Dari sudut ini, tamadun Indus memperlihatkan bahawa sesebuah masyarakat itu tidak akan mempu mencapai kecemerlangan tanpa membuat hubungan serta bertukar pandangan dengan pihak lain. Hubungan dengan tamadun Mesopotamia serta tamadun Mesir Purba telah membolehkan kedua-dua belah pihak memperoleh manfaatnyasama ada dalam bentuk pertukaran teknologi atau seumpamanya. Walau bagaimanapun, dalam konteks hubungan antara tamadun Indus dengan tamadun Mesopotamia, segala pengaruh dari luar itu disesuaikan dengan keadaan dan suasana tempatan.
Secara keseluruhannya, tamadun Indus telah menunjukkan kepada masyarakat dunia moden hari ini beberapa aspek yang sangat penting dalam proses pembinaan sesebuah tamadun, termasuk keamanan. Tamadun Indus mengajar kita bahawa kedamaian dan keamanan ialah tunjang kepada kekuatan sesebuah bangsa untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa tamadun Indus telah berdiri sebagai sebuah tamadun yang matang. Kematangan tamadun Indus terbukti melalui pencapaiannya yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang termasuklah perancangan bandar, kegiatan ekonomi, aspek kerohanian dan kepercayaan. Kemampuan tamadun Indus mencapai tahap kecemerlangan ini bukan sahaja bergantung pada kelebihan geografi seperti adanya sungai sebagai sumber asas kehidupan, tetapi juga kreativiti masyarakatnya menjadikan sumber tersebut sebagai pemacu kepada kejayaan. Hal-hal yang positif sebegini seharusnya menjadi ikutan manusia sepanjang zaman.

3 comments:

  1. Spinning Titanium Band Rings - Titsanium Arts
    Spinning Titanium Band Rings. Spinning samsung titanium watch Titsanium rings are one of the spinning ring rings. titanium shift knob Spinning metal band has the best shape and can titanium rings be resized texture ford edge titanium 2019 in the titanium pot ring.$25.95 · ‎In stock

    ReplyDelete